Altruisme dalam etika Altruisme

Rencana utama: Altruisme (etika)

Perkataan "altruisme" (berasal daripada bahasa Perancis, autrui, "orang lain") telah dicipta oleh Auguste Comte, pengasas positivisme dari Perancis, untuk memerihalkan doktrin etika yang disokongnya. Beliau mempercayai bahawa individu-individu mempunyai kewajipan moral untuk berkhidmat bagi kepentingan orang lain atau kebaikan kemanusiaan yang lebih besar. Dalam karyanya, Catechisme Positiviste, Comte mengatakan bahawa:

"sudut pandangan sosial tidak boleh mentoleransi tanggapan-tanggapan hak disebabkan tanggapan in berasaskan faham perseorangan. Kita dilahirkan di bawah berbagai-bagai jenis kewajipan kepada pendahulu-pendahulu dan pewaris-pewaris kita, serta orang-orang yang hidup sezaman. Selepas kelahiran kita, kewajipan-kewajipan ini bertambah atau berkumpul buat satu tempoh sebelum kita dapat memulangkan sebarang perkhidmatan... Ini [iaitu hidup untuk orang-orang lain"], rumusan yang paling sahih untuk kesusilaan manusia, memberi kebenaran langsung secara eksklusif kepada naluri-naluri sifat suka membuat kebaikan, punca yang sama untuk kebahagiaan dan kewajipan. [Manusia harus berkhidmat untuk] Kemanusiaan, yang kita merupakan sepenuhnya."

Disebabkan nama doktrin etika ialah "altruisme", perbuatan yang ditetapkan oleh doktrin etika juga telah diistilahkan sebagai "altruisme" — berkhidmat kepada orang-orang lain melalui mengutamakan kepentingan mereka berbanding kepentingan diri sendiri.

Ahli-ahli falsafah yang menyokong keakuan telah memperdebatkan bahawa altruisme merendahkan maruah individu dan sebenarnya, kewajipan moral untuk membantu orang-orang lain tidak wujud. Friedrich Nietzsche menegaskan bahawa altruisme mendasarkan andaian bahawa orang-orang lain adalah lebih penting berbanding diri sendiri, dan kedudukan sebegini merendahkan maruah. Beliau juga menuntut bahawa orang-orang Eropah amat jarang mempertimbangkan pengorbanan kepentingan diri sendiri untuk orang lain sehingga selepas kemunculan agama Kristian. Ayn Rand memperdebatkan bahawa altruisme ialah pengorbanan nilai-nilai seseorang secara rela, dan merupakan kebalikan kesusilaan kerana hanya etika mementingkan diri yang rasional dapat membenarkan seseorang mengejarkan nilai-nilai yang diperlukan untuk hidup.

Penyokong-penyokong altruisme sebagai suatu doktrin etika mempertahankan bahawa seseorang harus bertindak, atau menahan diri supaya tidak bertindak, supaya manfaat atau kebaikan diberi kepada orang-orang lain dan jika perlu, sehingga menjejaskan kepentingan diri sendiri. (Perhatikan bahawa menahan diri daripada membunuh orang lain bukannya altruisme kerana orang itu tidak menerima sebarang manfaat atau bantuan disebabkan dia telah mempunyai hayatnya; ini adalah sama sahaja dengan tidak mempedulikan seseorang).